Mekanisme Baru Penetapan Harga Petrol Dan Diesel Di Malaysia 2017. Apakah mekanisme baru penetapan harga petrol dan diesel di Malaysia? Penetapan harga petrol dan diesel akan dibuat secara mingguan dan akan bermula pada setiap hari Rabu. Harga runcit petrol dan diesel seterusnya akan mula berkuat kuasa selepas jam 12 tengah malam, hari Khamis. Pengumuman Penetapan Harga Petrol Dan Diesel Secara Mingguan telah dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Penetapan Harga Petrol Dan Diesel Secara Mingguan Bermula 29 Mac 2017
Untuk makluman pelaksanaan mekanisme akan bermula pada hari Rabu, 29 Mac 2017. Harga petrol dan diesel di Malaysia akan mula berkuatkuasa pada hari Khamis, 30 Mac 2017. Berikut adalah harga terkini minyak melalui pelaksanaan mekanise baru ini bermula dari 30 Mac sehingga 5 April 2017.
- RON95 : Turun 17 sen ke RM2.13 seliter (Harga sebelum RM2.30 seliter)
- RON97 : Turun 19 sen ke RM2.41 seliter (Harga sebelum RM2.60 seliter)
- DIESEL : Turun 9 sen ke RM2.11 seliter (Harga sebelum RM2.20 seliter)
- EURO 5 : Turun 9 sen ke RM2.21 seliter (Harga sebelum RM2.30 seliter)
Nota : Harga Minyak dalam kurungan ( ) adalah harga bulan Mac 2017 sebelum pelaksanaan penetapan harga minyak mingguan.
Mekanisme Penetapan Harga Terdahulu
Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan penetapan harga bulanan secara pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983. Penetapan harga secara pengapungan terkawal bulanan telah bermula dari Disember 2014 sehingga Mac 2017.
Formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan terdahulu adalah mengikut kadar pasaran minyak dunia. Pengapungan terkawal secara bulanan ini telah menyebabkan perubahan atau kadar turun naik harga ini begitu ketara menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak.
Penambahbaikan Mekanisme Penetapan Harga Minyak Di Malaysia
KPDNKK melakukan mekanisme pengurusan pengapungan harga terkawal petrol dan diesel secara mingguan bagi menambah baik mekanisme terdahulu. KPDNKK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, badan-badan bukan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan lain. Hasil daripada perbincangan telah dibentangkan kepada jemaah menteri dan dipersetujui pada 22 Februari 2017.
Semoga Penetapan Harga Petrol Dan Diesel Secara Mingguan ini dapat mengatasi kelemahan mekanisme penetapan yang terdahulu.